24 March 2015

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Menuju kelas dunia



Transformasi pendidikan lahir pelajar penuhi keperluan abad ke-21

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 September, 2013 Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran diperlukan pada abad ke-21. 

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025. 

“Dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Najib berkata, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah kakitangan dan kemudahan, malah menjurus kepada usaha memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

 Katanya, bersandarkan inisiatif diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, pelan itu menggariskan perubahan besar yang dihasratkan. 

Najib berkata, pelan itu dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui dan walaupun semua matlamat itu melambangkan cita-cita yang tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai.

Matlamat itu, menurut Najib, termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang, selain mengurangkan jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dan luar bandar serta antara negeri dalam tempoh yang sama.

“Hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang serta teliti dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid,” katanya.

Mengakui bukan mudah melaksanakan transformasi sistem pendidikan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan, Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri komited untuk mencapai semua matlamat dan aspirasi yang digariskan. - BERNAMA