21 November 2012

Latih guru berfikir sebagai usahawan - Muhyiddin







KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.
"Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.
"Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.
Kata Muhyiddin, guru-guru seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, cabaran dan masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza.
"Walau siapapun kita, sama ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah.
"Mereka yang memiliki kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh mana-mana organisasi," ujarnya.
Muhyiddin berkata, pendidik bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi.
"Selain itu, kita juga perlu memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelasnya.