19 March 2012
Penggunaan Internet Secara Maksimum?
Kemudahan internet tersedia di mana-mana sahaja sekarang ini. Selain di pusat komputer, perkhidmatan internet tanpa wayar boleh diterima di kawasan terbuka seperti restoran makanan segera, restoran nasi kandar dan kawasan-kawasan umum yang lain. Internet sudah menjadi satu keperluan asas kehidupan masyarakat kini. Jadi, pelbagai perkara boleh dilakukan oleh pelajar seperti saya dengan menggunakan teknologi ini.
Sebagai pelajar, saya dapat menggunakan kemudahan internet untuk mengakses maklumat daripada laman sesawang yang tersedia. Semua maklumat yang saya perlukan diperoleh melalui pelbagai carian tertentu. Saya tidak perlu bersusah payah membaca banyak buku untuk mendapatkan informasi itu yang seolah-olah berada di hujung jari saya sahaja.
Sebagai remaja pula, saya memerlukan banyak kawan untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Saya juga boleh meluahkan perasaan tertekan hidup sebagai remaja menerusi internet dengan kawan-kawan. Keadaan ini menyebabkan saya tidak akan terbabit dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat seperti mengambil dadah kerana saya dikelilingi oleh rakan-rakan sepanjang masa. Oleh itu, internet sememangnya bermanfaat dalam kehidupan remaja seperti saya.
Pada masa yang sama saya juga boleh menggunakan internet untuk meningkatkan prestasi peperiksaan saya. Kini sudah ada banyak portal pendidikan di internet yang memudahkan saya untuk membuat latihan dan memperoleh nota pendidikan dengan mudah sahaja. Saya juga boleh menghubungi guru saya menerusi internet selain menghantar latihan tambahan kepada beliau untuk disemak juga. Jelaslah, internet membantu pelajar seperti saya untuk meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
Malahan, internet memudahkan saya membayar bil-bil ayah dan ibu pula. Kebanyakan syarikat sudah mula membenarkan pelanggannya membuat bayaran bil melalui internet untuk memudahkan pelanggan. Saya tidak lagi perlu berdiri lama di kaunter pembayaran seperti suatu masa dahulu. Sesungguhnya, internet menjadikan kehidupan saya lebih bermakna kerana mampu membantu ayah dan ibu dalam kehidupan harian mereka.
Internet juga membolehkan saya menjalankan perniagaan yang menguntungkan. Sudah ada banyak pelajar yang membina halaman sesawang dan blog untuk menjual barangan atau perkhidmatan juga. Wang yang diterima mungkin tidak banyak tetapi cukup sebagai wang saku buat pelajar seperti saya. Maka, internet menjadikan satu peluang untuk saya belajar mencari wang sendiri lalu menimbulkan rasa bangga akan diri juga.
Kesimpulannya, pelajar seperti saya harus bijak memanfaatkan kewujudan internet secara maksimum. Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran seseorang dalam penggunaan teknologi maklumat tetapi turut berupaya menambahkan ilmu dan pengetahuan baru juga. Pelajar akan mampu menggunakan kemahiran itu untuk memperoleh sesuatu kejayaan lain pula dalam hidup mereka. Bak kata orang tua-tua “carilah ilmu walaupun sampai ke negeri China” yang membuktikan ilmu itu amat penting dan harus dicari walaupun sukar.