12 September 2013

Warga pendidik di Kelantan sambut baik

KOTA BHARU 9 Sept. - Warga pendidik di Kelantan menyambut baik inisiatif kerajaan untuk mewujudkan 10,000 jawatan pembantu pentadbiran di sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam tanggungjawab pentadbiran.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting, Sharifah Faridah Syed Bulat, 57, berkata, semua guru sememangnya melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi dalam mendidik murid.
Bagaimanapun, katanya, ada ketikanya guru terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran di sekolah dan ia sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan mereka dalam melaksanakan pembelajaran dan pengajaran (P&P).
“Justeru kami mengalu-alu apabila terdapat usaha di pihak kerajaan bagi mewujudkan jawatan pembantu tadbir di sekolah kerana pastinya dapat mengurangkan beban tugas guru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dia diminta mengulas rancangan kerajaan mewujudkan 10,000 jawatan pembantu tadbir di sekolah bagi membantu meringankan beban guru dalam tanggungjawab pentadbiran.
Bagi guru sekolah SK Sering, Rosmawaty Mamat, 42, pula, inisiatif kerajaan itu dilihat mampu memperkasa tugas dan peranan guru di sekolah iaitu mendidik murid bagi melahirkan modal insan kelas pertama.
“Justeru, rancangan kerajaan untuk mengwujudkan jawatan berkenaan mampu membantu guru melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan," katanya.
Guru SK Pendidikan Khas, Lati, Pasir Mas, Kamarul Hafiz Kamaruzzaman, 26, pula melahirkan rasa gembira kerana kerajaan amat peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh warga pendidik di sekolah.
“Banyak perkara menjadi tanggungjawab guru untuk dilaksana dalam mencapai wawasan pendidikan negara, antaranya pelaksanaan Ko-Standard Sekolah Rendah yang memerlukan setiap projek disiapkan bersama bahan bukti.
“Kerja itu cukup mencabar guru dan dengan mewujudkan jawatan pembantu pentadbiran di sekolah, ia mampu mengurangkan beban kerja berkenaan," katanya.
Guru SK Tengku Indera Petra, Hazlee Yusoff, 38, turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan itu mengambil kira beban tugas guru.
“Dengan bantuan pembantu tadbir ini, guru tidak lagi terbeban dengan kerja perkeranian dan mampu memberi tumpuan mendidik murid untuk menjadi warga negara bangsa yang seimbang," katanya.


No comments:

Post a Comment