29 August 2013

Perkasa guru, kualiti pendidikan

Kuala Lumpur: Keberkesanan transformasi kualiti pendidikan negara bergantung kepada keunggulan profesyen perguruan dan kualiti pendidikan.

Justeru, iltizam mencapai matlamat berkenaan diterjemahkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mana inti patinya turut diperkukuhkan menerusi penganjuran siri dialog membabitkan pelbagai peringkat masyarakat. 
Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri yang juga seorang panel dialog PPPM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata pemerkasaan tugas guru adalah antara aspek penting yang diketengahkan dalam pelan itu. 



Laporan akhir PPPM dijangka dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 September ini.

Capai enam sasaran

Pada 11 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan Laporan Awal PPPM.

Sebanyak enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan dalam Gelombang 1 PPPM (2013-2015) berjaya dicapai dalam tempoh 100 hari pelaksanaannya.
Sulaiman berkata, pemerkasaan guru kena pada masanya memandangkan tugas mereka kini adalah pelbagai selain daripada mengajar.

Katanya, ia termasuk memastikan pelajar mempunyai sahsiah dan disiplin tinggi.

Beliau berkata, isu itu antara perkara utama yang diketengahkan dalam siri dialog PPPM di tiga negeri kendaliannya.

“Memang perlu ada dasar bersesuaian untuk mengatasi isu ini supaya fokus guru ketika mengendalikan pengajaran tidak terjejas.

Jamin keberkesanan PPPM

“Justeru, setiap dasar dalam PPPM akan merangkumi pelbagai aspek dan rantaian mekanisme bagi menjamin keberkesanannya secara menyeluruh.

“Saya berpendapat, semua pihak dan agensi kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam merealisasikan visi yang tersirat di sebalik PPPM ini,” katanya.

Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa.

Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima pada peringkat antarabangsa.

“Dalam sesi Dialog Nasional, kualiti pengajaran dianggap wahana paling berkesan untuk mentransformasikan pendidikan rendah dan menengah dan selanjutnya meningkatkan keberhasilan murid. Menerusi pelan ini kita dapat lihat kementerian beriltizam untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dengan memperkukuh amalan terbaik sedia ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment