25 June 2012

Buang bayi dalam semak


KOTA BHARU – Seorang pelajar sekolah tidak menyangka gumpalan kertas surat khabar berlumuran darah yang ditemuinya semalam dalam perjalanan ke sekolah, mengandungi seorang bayi lelaki yang masih hidup.
Mohd Razif Zaid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Mas di sini berkata, dia menemui bayi berkenaan dalam kertas surat khabar di tepi semak ketika berjalan ke sekolah bersama seorang rakan pukul 7.20 pagi.
“Saya bersama rakan terkejut apabila ternampak kertas surat khabar itu penuh dengan darah di tepi semak dan apabila mendekati melihat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di situ.

“Saya kemudian memberitahu pekerja kantin sekolah mengenainya sebelum dia (pekerja kantin) menghubungi polis untuk tindakan seterusnya,” kata Mohd Razif kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Pelajar itu berkata, bayi itu masih bertali pusat dan tidak menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan susulan. – BERNAMA

Minggu Bahasa Peringkat PPD Tumpat 2012