31 March 2012

Mesyuarat Agung PIBG kali ke 33

ponteng

Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Bharu, yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran. Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot di sini, untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus. Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau. "Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok," katanya kepada pemberita kelmarin. Hussin berkata pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut. Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya. Katanya terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu. Beliau berkata operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat. Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

19 March 2012

Kesalahan Ejaan

Berikut ialah senarai kesalahan ejaan yang biasanya muncul dalam karangan. 1. displin - disiplin 2. Tsunami - tsunami 3. menanangi - menangani 4. menggelakan - mengelakkan 5. berbillion-billion - berbilion-bilion 6. dasyat - dahsyat 7. kerosakkan - kerosakan 8. pertempatan - petempatan 9. sampah-sarap - sampah sarap 10. mengembirakan - menggembirakan 11. menyerdari profession - menyedari profesion 12. perkerjaaan - pekerjaan 13. efisyen - efisien 14. mengalakkan - menggalakkan 15. seringkali - sering kali 16. acapkali - acap kali 17. berjogging - berjoging 18. apartment - apartmen 19. treauma - trauma 20. kementrian - kementerian 21. negative - negatif 22. memperdulikan - mempedulikan 23.mempedayakan - memperdayakan 24. kesimpulanya - kesimpulannya 25. prodaktiviti - produktiviti 26. mengganggap - menganggap 27. pengganguran - pengangguran 28. walaubagaimanapun - walau bagaimanapun 29. bersopan-santun - bersopan santun 30. lalu-lintas - lalu lintas 31. pra-kemerdekaan - prakemerdekaan 32. anti kerajaan - antikerajaan 33. terhantuk baru terngadah - tengadah 34. kasih-sayang - kasih sayang 35. mengembleng - menggembleng 36. anti-merokok - antimerokok 37. keseronokkan - keseronokan 38. kes rompakkan - kes rompakan 39. pengawai polis - pegawai polis 40. saki baki - saki-baki 41. sanak-saudara - sanak saudara 42. yatim-piatu - yatim piatu 43. pekara- perkara 44. pengakutan - pengangkutan 45. menangguh di air keruh - menangguk air keruh 46. rumah-tangga - rumah tangga 47. kecermerlangan - kecemerlangan 48. jalanraya - jalan raya 49. lebuhraya - lebuh raya 50. pasaraya - pasar raya 51. bandaraya - bandar raya 52. dimana - di mana 53. bekeluarga - berkeluarga 54. fail beserta pen - fail berserta pen 55. gambarajah - gambar rajah 56. menyalah gunakan - menyalahgunakan 57. penguatkuasa- penguat kuasa 58. khursus - kursus 59. ketidak stabilan - ketidakstabilan 60. setia usaha - setiausaha 61. urusetia majlis - urus setia majlis 62. mengulangkaji pelajaran - mengulang kaji pelajaran 63. motorbot - motobot 64. bidang akedemik - bidang akademik 65. kebanyakkan - kebanyakan 66. berkerjasama - bekerjasama 67. kadang-kala- kadangkala 68. penyalah gunaan - penyalahgunaan 69. Disamping itu - Di samping itu 70. kerosakkan - kerosakan 71. anti-merokok - antimerokok 72. serious - serius 73. terguris - tergores 74. seringkali - sering kali 75. biadap - biadab 76. television - televisyen 77. penguatkuasa - penguat kuasa 78. barang kali - barangkali 79. pasca kemerdekaan – pascakemerdekaan

Penggunaan Internet Secara Maksimum?

Kemudahan internet tersedia di mana-mana sahaja sekarang ini. Selain di pusat komputer, perkhidmatan internet tanpa wayar boleh diterima di kawasan terbuka seperti restoran makanan segera, restoran nasi kandar dan kawasan-kawasan umum yang lain. Internet sudah menjadi satu keperluan asas kehidupan masyarakat kini. Jadi, pelbagai perkara boleh dilakukan oleh pelajar seperti saya dengan menggunakan teknologi ini. Sebagai pelajar, saya dapat menggunakan kemudahan internet untuk mengakses maklumat daripada laman sesawang yang tersedia. Semua maklumat yang saya perlukan diperoleh melalui pelbagai carian tertentu. Saya tidak perlu bersusah payah membaca banyak buku untuk mendapatkan informasi itu yang seolah-olah berada di hujung jari saya sahaja. Sebagai remaja pula, saya memerlukan banyak kawan untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Saya juga boleh meluahkan perasaan tertekan hidup sebagai remaja menerusi internet dengan kawan-kawan. Keadaan ini menyebabkan saya tidak akan terbabit dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat seperti mengambil dadah kerana saya dikelilingi oleh rakan-rakan sepanjang masa. Oleh itu, internet sememangnya bermanfaat dalam kehidupan remaja seperti saya. Pada masa yang sama saya juga boleh menggunakan internet untuk meningkatkan prestasi peperiksaan saya. Kini sudah ada banyak portal pendidikan di internet yang memudahkan saya untuk membuat latihan dan memperoleh nota pendidikan dengan mudah sahaja. Saya juga boleh menghubungi guru saya menerusi internet selain menghantar latihan tambahan kepada beliau untuk disemak juga. Jelaslah, internet membantu pelajar seperti saya untuk meninggikan pencapaian pendidikan mereka. Malahan, internet memudahkan saya membayar bil-bil ayah dan ibu pula. Kebanyakan syarikat sudah mula membenarkan pelanggannya membuat bayaran bil melalui internet untuk memudahkan pelanggan. Saya tidak lagi perlu berdiri lama di kaunter pembayaran seperti suatu masa dahulu. Sesungguhnya, internet menjadikan kehidupan saya lebih bermakna kerana mampu membantu ayah dan ibu dalam kehidupan harian mereka. Internet juga membolehkan saya menjalankan perniagaan yang menguntungkan. Sudah ada banyak pelajar yang membina halaman sesawang dan blog untuk menjual barangan atau perkhidmatan juga. Wang yang diterima mungkin tidak banyak tetapi cukup sebagai wang saku buat pelajar seperti saya. Maka, internet menjadikan satu peluang untuk saya belajar mencari wang sendiri lalu menimbulkan rasa bangga akan diri juga. Kesimpulannya, pelajar seperti saya harus bijak memanfaatkan kewujudan internet secara maksimum. Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran seseorang dalam penggunaan teknologi maklumat tetapi turut berupaya menambahkan ilmu dan pengetahuan baru juga. Pelajar akan mampu menggunakan kemahiran itu untuk memperoleh sesuatu kejayaan lain pula dalam hidup mereka. Bak kata orang tua-tua “carilah ilmu walaupun sampai ke negeri China” yang membuktikan ilmu itu amat penting dan harus dicari walaupun sukar.

Ayat Komplemen

Dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kita mempunyai pilihan untuk menggunakan sama ada ayat tunggal ataupun ayat majmuk. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi hanya satu klausa , iaitu satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat. Ayat majmuk pula ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan percantuman itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat yang baharu. Contohnya: a). Aziz sedang membaca buku. (ayat tunggal) b). Azizan sedang mengemas bilik. (ayat tunggal) c). Aziz sedang membaca buku sementara Azizan sedang mengemas bilik. (ayat majmuk) Ayat majmuk dibahagikan kepada tiga jenis iaitu: Ayat majmuk gabungan Ayat majmuk pancangan Ayat majmuk campuran Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Ayat majmuk pancangan ialah binaan ayat yang terdiri daripada satu ayat utama atau ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil lain yang dipancangkan di dalam ayat induk dan menjadi sebahagian daripada ayat induk itu. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu berdasarkan cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, yakni terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Ayat komplemen Sebagaimana yang telah dinyatakan, ayat majmuk pancangan terdiri daripada tiga jenis iaitu ayat relatif, ayat komplemen dan ayat keterangan. Ayat komplemen ialah bahagian ayat dalam binaan ayat majmuk yang melengkapkan ayat tersebut. Ayat komplemen ditandai oleh penggunaan kata hubung komplemen bahawa dan untuk.Contohnya: a). Ketua Pengarah Kesihatan mengumumkan bahawa kematian akibat H1N1 tidak berubah. b). Beliau menjelaskan bahawa cuti semua pegawai perubatan dibekukan. c). Amat tidak wajar untuk mereka menyalahkan orang lain. Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai objek tepat kepada kata kerja transitif seperti mengumumkan dan menjelaskan, selain menjadi pelengkap kepada ayat induk atau ayat utama. Terdapat sebilangan kata kerja transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai objek supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; menafikan, menyatakan, menyebut, menegaskan, mengharapkan, menyedari, mengakui, melaporkan, mengesahkan. Selain menjadi objek, ayat komplemen juga menjadi pelengkap kepada frasa kerja tak transitif yang lazimnya menggunakan imbuhan ber-... sebagaimana contoh berikut; a). Mereka berpendapat bahawa masalah itu telah selesai. b). Kami beranggapan bahawa penyelesaian itu hanya sementara. Bahagian yang bercetak miring dalam ayat di atas ialah ayat komplemen, iaitu yang berfungsi sebagai pelengkap kepada frasa kerja tak transitif seperti berpendapat dan beranggapan. Terdapat sebilangan kata kerja tak transitif lain yang perlu diikuti oleh ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap supaya maksud ayat tersebut lengkap, antaranya; bermaksud, berpendirian, berpandangan, berfahaman, bersetuju, berharap. Sebagai kesimpulannya, dapat dinyatakan bahawa ayat komplemen berfungsi sebagai objek dan pelengkap, berdasarkan kata kerja atau frasa kerja dalam ayat induk atau ayat utama.

Ayat Pasif

Definisi Ayat pasif ialah ayat yang mengutamakan objek asal (iaitu objek dalam ayat aktif) sebagai perkara atau unsur yang diterangkan, manakala subjek asalnya tidak diutamakan. Contohnya: i. Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan anugerah itu. (Ayat Aktif) (subjek)+ (kata kerja transitif) +(objek) ii.Anugerah itu disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG. (Ayat Pasif) (subjek)+ (kata kerja pasif) +(pelaku)
Anugerah itu disampaikan oleh Tuan Guru Besar, Tuan Haji Jusoh bin Seman . Jenis ayat pasif 1. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’di’ dan ’ter’ Contohnya: a). Hadiah pertandingan itu sudah dituntut oleh pemenangnya semalam. b). Peralatan sistem suara itu tidak terangkat oleh mereka. 2. Ayat Pasif dengan Kata Kerja berimbuhan ’ber’ dan ’ke...-an’. a). Dalam perjalanan pulang mereka kehujanan. b). Ketika mereka tiba juadah itu sudah bertutup. c). E-mel yang saya kirim belum berjawab lagi. 3. Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Orang Pertama dan Kedua Contoh a). Laporan peristiwa itu sudah saya siapkan semalam. b). Tugasan itu harus awak laksanakan dengan segera. c). Masalah itu wajar kita hadapi bersama-sama. Kesimpulannya, kita hendaklah dapat membezakan struktur ayat pasif dengan ayat aktif supaya kita dapat membina ayat yang gramatis dan tidak dianggap sebgai pengguna bahasa yag pasif.

Apa beza pelantikan dengan perlantikan?

Untuk membezakan ejaan perlantikan dengan pelantikan perkara pertama yang perlu ditentukan ialah imbuhan yang boleh digunakan pada kata dasar yang bermula dengan huruf ‘l’ seperti lucut, letak, lancar, lanjut, dan lain-lain Permasalahan ini tidak akan timbul pada perkataan yang bermula dengan huruf lain daripada l. Jika perkataan tersebut boleh ditambah imbuhan meN-…-kan, perkataan tersebut dieja dengan peN-…-an iaitu tanpa huruf ‘r’. Sebagai contoh, perkataan lucut, letak, lancar, lanjut, lepas, laksana boleh ditambah apitan meN-…-kan (me-…-kan) menjadi; melucutkan, meletakkan, melancarkan, melanjutkan, melepaskan, melaksanakan perkataan tersebt dieja sebagai; pelucutan, peletakan, pelancaran, pelanjutan, pelepasan, pelaksanaan. Sebaliknya, jika sesuatu perkataan yang bermula dengan huruf ‘l’ boleh menerima apitan beR-…, seperti berlumba, berlawan, berlaga, perkataan tersebut dieja dengan peR-…-an iaitu dengan huruf r (per-…-an) menjadi; perlumbaan, perlawanan, perlagaan. Kaedah ini tidak melibatkan perkataan yang bermula dengan huruf lain, selain huruf l seperti gaduh, tambah, damai, tetap dieja sebagai pergaduhan, pertambahan, perdamaian, dan bukan dieja pegaduhan, petambahan, pedekatan, pedamaian. Sebagai kesimpulannya, keraguan tentang ejaan perkataan yang menggunakan pe-…-an atau per-…-an dapat diatasi dengan menentukan imbuhan yang dapat digunakan dengan kata dasarnya.