29 November 2012

Program BITARA PPD Tumpat






Pada 18 - 22 November 2012 bertempat di SK Wakaf Bharu telah diadakan program Bitara yang dianjurkan oleh PPd Tumpat. Sekolah yang terlibat iaitu SK Wakaf Bharu, SK Sri Wakaf Bharu dan SK Kutan.

21 November 2012

Latih guru berfikir sebagai usahawan - Muhyiddin







KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.
"Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.
"Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.
Kata Muhyiddin, guru-guru seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, cabaran dan masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza.
"Walau siapapun kita, sama ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah.
"Mereka yang memiliki kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh mana-mana organisasi," ujarnya.
Muhyiddin berkata, pendidik bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi.
"Selain itu, kita juga perlu memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelasnya.


Tahniah kepada pelajar yang mendapat 5A UPSR 2012

PUTRAJAYA - Sebanyak 45,054 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat A dalam semua mata pelajaran, menurun 0.54 peratus berbanding 46,012 calon pada tahun lalu.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na'imah Ishak berkata pencapaian keseluruhan juga menurun sebanyak 0.01 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.30 tahun lalu kepada 2.31 tahun ini.

"Sebab penurunan ini masih belum diketahui dan jabatan pelajaran negeri dan sekolah-sekolah akan membuat kajian mengenainya selepas ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR, di sini hari ini.

Sebanyak 517,139 calon menduduki UPSR tahun ini, iaitu meningkat 3.9 peratus berbanding 497,691 tahun lalu, dan daripada jumlah itu 98.2 peratus atau 507,783 adalah calon sekolah kementerian manakala baki calon sekolah swasta.

Na'imah berkata sebanyak 286,930 calon tahun ini memperoleh keputusan Baik iaitu minimum C tidak termasuk semua A, meningkat 1.49 peratus berbanding 269,021 calon tahun lalu.

Sebanyak 17,251 calon lagi berada di bawah tahap penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya, meningkat 0.54 peratus berbanding 13,958 peratus tahun lalu.

Beliau berkata jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 17,329 tahun ini, berbanding 16,244 calon tahun lalu manakala calon bandar pula menurun kepada 27,681 berbanding 29,462 tahun lalu.

Katanya, bagi pencapaian Baik pula, calon bandar dan luar bandar mencatat peningkatan dengan calon bandar meningkat kepada 149,911 berbanding 148,265  tahun lepas manakala calon bandar pula 136,590 berbanding 118,543 tahun lalu.

"Pada tahun  ini peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum berjaya dikurangkan terutama di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.86 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.20 peratus.

"Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar dengan beza sebanyak 0.66 peratus," katanya.

Na'imah berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat semua A meningkat kepada 25 orang tahun ini berbanding 17 orang tahun lalu, meliputi tiga orang calon buta, tujuh calon rabun dan 15 calon dengan lain-lain kecacatan.

Beliau berkata peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Baik juga meningkat sebanyak 0.44 peratus daripada 218 orang  tahun lalu kepada 295 orang pada tahun ini, manakala pencapaian keseluruhan juga meningkat sebanyak 0.01 mata GPN berbanding tahun lalu.

Bilangan calon berkeperluan khas yang menduduki UPSR tahun ini bertambah kepada 1,752 orang tahun ini berbanding 1,329 orang tahun lalu.

Dari segi mata pelajaran pula, Na'imah berkata berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), prestasi keseluruhan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan 0.07 mata, manakala calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun masing-masing 1.6 dan 2.6 peratus.

Beliau berkata bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Penulisan di SK pula meningkat sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lalu, malah peratusan Gred A juga meningkat sebanyak 3.2 peratus namun peratusan Gred ABC menurun sebanyak 0.2 peratus.

Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu - Pemahaman dan Penulisan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat Gred A masing-masing menurun sebanyak 1.5 peratus dan 2.8 peratus, manakala berdasarkan GPMP Bahasa Melayu - Pemahaman mencatat penurunan sebanyak 0.04 mata manakala Bahasa Melayu - Penulisan meningkat 0.03 mata, katanya.

Na'imah berkata bagi Bahasa Inggeris di SK, prestasi keseluruhan meningkat 0.05 mata GPMP, dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred ABC masing-masing meningkat 0.8 peratus dan 2.6 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata prestasi mata pelajaran itu di SJK pula menurun sebanyak 0.07 mata GPMP dan peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC juga menurun masing-masing sebanyak 1.9 peratus dan 1.6 peratus.

Mata pelajaran Matematik meningkat 0.02 mata GPMP tahun ini, sementara calon yang mendapat Gred A dan ABC meningkat masing-masing 0.6 peratus, manakala Sains menurun 0.04 mata GPMP, sementara calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC, masing-masing menurun 1.7 peratus dan 0.6 peratus, katanya.

Dr Nai'mah berkata prestasi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Cina - Pemahaman menurun sebanyak 0.01 mata GPMP manakala Bahasa Cina - Penulisan meningkat 0.02 mata GPMP, dan bagi Bahasa Tamil - Pemahaman dan Penulisan menurun masing-masing 0.10 mata dan 0.04 mata GPMP.

Bagi Ujian Aptitud yang merupakan tahun keempat dilaksanakan bagi memberi gambaran dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah, beliau berkata maklumat keputusan ujian itu tidak dinyatakan dalan slip keputusan UPSR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah.

Peperiksaan UPSR dijalankan serentak di seluruh negara pada 11, 12 dan 13 Sept lalu di 8,284 pusat peperiksaan.- Bernama

13 September 2012

Transformasi pendidikan - PM

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kerajaan kini mengatur langkah membangunkan negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
"Dalam usaha untuk memenuhi aspirasi kita yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kita tidak boleh hanya berdiam diri. Negara memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dan perlu meningkatkan pencapaian semua pelajar.
"Perubahan yang dimaksudkan bukan hanya sekadar menambah bilangan kakitangan serta kemudahan, tetapi sekarang kita perlu memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya menerusi blognya, http://1malaysia.com.my hari ini.
Semalam, beliau melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, pendidikan bukan hanya satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan peribadi seseorang insan, malah ia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara.
Ia jelasnya, menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan para belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran dan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan adalah tinggi namun ia boleh dicapai termasuk meningkatkan standard negara daripada tergolong dalam kumpulan terbawah kepada paling atas bagi penilaian antarabangsa seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun.
Sasaran lain, katanya, membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak bangsa menghargai identiti unik negara sebagai rakyat Malaysia.
"Transformasi sistem pendidikan bukan satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja kerajaan dan Kementerian Pelajaran yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.
"Daripada ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki," tegasnya.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

 
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telahpun dibentangkan baru-baru ini. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ini dilancarkan untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap prestasi tinggi.
Yang menariknya pelan pembangunan ini bukan sahaja mendapat pandangan pakar pendidikan semata-mata tetapi juga ibu bapa, pihak-pihak berkepentingan malahan pelajar sendiri dan juga mengambil kira input daripada sistem-sistem pelajaran berprestasi tinggi dari luar negara.

Jom kita terjah 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:
  • Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
  • Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
  • Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
  • Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
  • Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
  • Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
  • Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
  • Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
  • Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
  • Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
  •  Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun di mana :-
  • Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas.
  •  Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem.
  •  Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.
Pelan ini turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

12 September 2012

Selamat menghadapi Peperiksaan UPSR 2012

Semua warga SKWB mendoakan kejayaan   pelajar tahun enam yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah bermula pada 11 hingga 13  September 2012.
Selamat menjawab soalan dengan tenang.





19 July 2012

Selamat datang Ramadhan yang dirindui

Sayugia bagi kita umat Islam berusaha mengikut sunnah Nabi dalam setiap perkara, begitu juga sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini:

1- Melewatkan bangun bersahur, keberkatannya dan mendahulukan Tamar:

ثبت في "الصحيحين" من حديث زيد بن ثابت قال: تسحرنا مع رسول الله ، ثم قمنا إلى الصلاة، قلت: كم كان قدر ما بينهما؟ قال: "خمسين آية".
Maksudnya:
Daripada hadis Zaid bin Thabit berkata: Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk bersolat (Subuh), saya bertanya (kepada Nabi): Berapakah kadar antara keduanya (sahur dan solat)? Baginda menjawab:“Kadar bacaan 50 ayat”.
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (4/118-119) dan Muslim (no. 1097)

وعن أنس بن مالك قال: قال رسول الله : "تسحروا فإن في السحور بركة".
Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW telah berkata: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (4/120) dan Muslim (no. 1095)

وعن أبي هريرة قال: قال رسول الله : "نعم سحور المؤمن التمر".
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah berkata: “Sebaik-baik sahur seorang mukmin itu ialah dengan memakan tamar”.-Direkodkan oleh Abu Daud (3/142)

2- Menjaga adab ketika berpuasa dengan tidak melakukan perkara lalai dan dosa:

عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ الله (ص) قَالَ : "الصِّيامُ جُنَّةٌ، فإذا كَانَ أَحَدُكُم صَائِماً فلا يَرْفُثْ ولا يَجهَلْ، فَإِنْ امْرُؤٌ شَاتَمَه فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ، إني صَائِم". 
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata: “Puasa itu pencegah (dari api neraka), maka apabila kamu berpuasa maka janganlah kamu berkata yang tidak elok dan janganlah jadi orang bodoh (dengan percakapan sia-sia). Jika ada orang yang mengejinya maka katakan kepadanya: Aku berpuasa, aku berpuasa”.-Direkodkan oleh Imam Bukhari (no. 1795) dan Muslim (no. 1151)

3- Sentiasa membaca dan bertadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan:

ثبت في حديث ابن عباس رضي الله عنهما قال: كان النبي أجود الناس، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل فيدارسه القرآن، فلرسول الله حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة.

Maksudnya:
Daripada Ibnu Abbas berkata: Bahawa Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah, baginda lebih pemurah dalam bulan Ramadhan apabila Jibril datang menemui baginda, dia datang menemui baginda pada setiap malam bulan Ramadhan dan mereka bertadarus Al-Quran. Maka Rasulullah SAW sangat pemurah dengan kebaikan dari angin yang bertiup.
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (no. 1902) dan Muslim (no. 2308)

4- Menyegerakan berbuka puasa sebelum solat Maghrib, dengan mendahulukan memakan Rutab (kurma basah) atau Tamar (kurma kering) atau meminum air:

عن أنس بن مالك قال: كان رسول الله يفطر على رطبات قبل أن يصلي، فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات، فإن لم تكن حسا حسوات من ماء.
Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik berkata: “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air”
-Direkodkan oleh Abu Daud (no. 2348)

5- Membelanjakan orang lain untuk berbuka puasa:

عَنْ زَيدِ بنِ خَالِدٍ الجُهْنيِّ قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله (ص):"مَن فَطَّرَ صَائماً كَانَ له مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لا يَنقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئاً".
Maksudnya:
Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhni RA berkata: Rasulullah SAW telah berkata:“Sesiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun".
-Direkodkan oleh Tirmizi (no. 807), Ibnu Majah (no. 1746) dan An-Nasai dalam “Al-Kubra” (no. 3330-3331)
6- Mendoakan orang yang membelanjakan orang lain untuk berbuka puasa:

عن أنس بن مالك أن النبي كان إذا أفطر عند أهل بيت قال لهم: "أفطر عندكم الصائمون، وأكل طعامكم الأبرار، وصلت عليكم الملائكة".
Maksudnya:
Daripada Anas bin Malik RA, bahawasanya Nabi SAW pernah berbuka puasa bersama sebuah keluarga di rumah mereka, maka baginda mendoakan mereka: “Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat”.
-Direkodkan oleh Imam Ahmad (3/118)

7- Menghidupkan setiap malam Ramadhan dengan beribadah:

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله (ص):"من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه".

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang mendirikan (malam dengan beribadat) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu”.
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (no. 2008) dan Muslim (no. 174)

8- Mendirikan Solat Tarawih dan solat-solat sunat yang lain:

ثبت من حديث أبي سلمة بن عبد الرحمن أنه سأل عائشة رضي الله عنها: كيف كانت صلاة رسول الله في رمضان؟ فقالت: ما كان يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة، يصلي أربعا فلا تسأل عن حسنهن وطولهن، ثم يصلي أربعا فلا تسأل عن حسنهن وطولهن، ثم يصلي ثلاثا، فقلت: يا رسول الله، أتنام قبل أن توتر. قال: "يا عائشة، إن عيني تنامان، ولا ينام قلبي".
Maksudnya:
Daripada hadis Abi Salamah bin Abdul Rahman, bahawa beliau telah bertanya kepada Aishah RA: Bagaimanakah solat Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan? Beliau menjawab: Baginda tidak menunaikan solat pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain lebih dari 11 rakaat, baginda bersolat 4 rakaat maka jangan ditanya tentang elok dan panjangnya, kemudian baginda bersolat 4 rakaat lagi maka jangan ditanya tentang elok dan panjangnya, kemudian baginda bersolat 3 rakaat, maka saya bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kamu tidur sebelum solat witir? Baginda menjawab: “Wahai Aishah, sesungguhnya kedua-dua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur”.-Direkodkan oleh Imam Bukhari (no. 2013) dan Muslim (1/509)

9- Beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan dan mengajak ahli keluarga turut serta:

عن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله إذا دخل العشر أحيا الليل، وأيقظ أهله، وجدَّ وشدَّ المئزر.
Maksudnya:
Daripada Aishah RA berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW apabila masuknya 10 malam terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malamnya (dengan beribadat), mengejutkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan mengetatkan kainnya (tidak bersetubuh).
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (4/233-234) dan Muslim (no. 1174)

10- Bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan:

ثبت من حديث عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسول الله يجاور في العشر الأواخر من رمضان، ويقول: "تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان".

Maksudnya:
Daripada hadis Aishah RA berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan, baginda berkata: “Tuntutlah Lailatul Qadar dengan bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir Ramadhan”.
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (4/225-226) dan Muslim (no. 1169)
11- Doa khusus pada setiap malam Ramadhan:

عَنْ عَائشةَ رَضيَ الله عَنْهَا قَالَتْ: قُلتُ: "يا رَسولَ الله، أَرأَيتَ إنْ عَلِمْتُ أيَّ ليلَةٍ ليلَةَ القدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قولي: اللَّهُمَّ إنَّك عَفُوٌّ كَريمٌ تُحبُّ العَفوَ فَاعْفُ عنِّي"

Maksudnya:
Daripada Aishah RA berkata: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, jika aku tahu malam bilakah Lailatul Qadar, apakah doa yang patut aku ucapkan? Baginda berkata: “Berdoalah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia Yang Sukakan Keampunan maka ampunilah aku”.
-Direkodkan oleh Tirmizi (no. 3508)

12- Membayar Zakat Fitrah sebelum Solat Aidil Fitri:

ثبت من حديث ابن عمر قال: فرض رسول الله زكاة الفطر صاعا من تمر أو صاعا من شعير على العبد والحر، والذكر والأنثى، والصغير والكبير، من المسلمين، وأمر بها أن تؤدى قبل خروج الناس إلى الصلاة.

Maksudnya:
Daripada hadis Ibnu Umar berkata: Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah sebanyak secupak tamar atau secupak gandum kepada setiap hamba dan merdeka, lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan dewasa, dari kalangan umat Islam, baginda memerintahkan untuk menunaikannya sebelum keluar orang ramai untuk bersolat (Aidilfitri).
-Direkodkan oleh Imam Bukhari (no. 1503)

Rujukan:1) Sahih Bukhari dan Muslim
2) Sunan Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, An-Nasai
3) Musnad Imam Ahmad
4) Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Salihin lil Imam Nawawi: Dr Mustapha Bugha dan lain-lain
5) Al-Muntaqa lil Hadis fi Ramadhan: Ibrahim bin Muhammad Al-Huqail
6) Hadyun Nabi fi Ramadhan: Sami bin Muhammad bin Jadullah
7) Taisir Al-Fiqh (Fiqh Siyam): Dr Yusuf Al-Qardhawi

11 July 2012

senamrobik serentak 1sukan 1 murid 1Malaysia




10 Julai 2012 seluruh murid sekolah telah melakukan aktiviti senamrobik serentak diseluruh negara.Syabas kepada seluruh murid dan guru SKWB.